Komondor
Komondor | ||||||||
| Nama lain |
| |||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Negara asal | Hungary | |||||||
| ||||||||
| Anjing (Canis lupus familiaris) | ||||||||
Komondor[a], juga dikenali sebagai anjing gembala Hungary, ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Hungary yang besar dan berwarna putih dengan lapis bulu terpintal panjang.[1]
Komondor, yang kadang-kadang dirujuk sebagai "anjing mop" oleh sebab penampilannya, ialah satu baka anjing yang sudah lama terasas[2] yang lazimnya digunakan untuk menjaga haiwan ternakan dan harta benda lain. Komondor dibawa ke Eropah oleh orang Kuman[3] dan sebutan terlama tentangnya yang diketahui adalah dalam sebuah kodeks Hungary dari tahun 1544.[2] Baka ini telah diisytiharkan sebagai salah satu khazanah kebangsaan Hungary yang perlu dipelihara dan dilindungi daripada pengubahsuaian.[4]
Etimologi dan sejarah
[sunting | sunting sumber]Komondor dibawa ke Hungary oleh orang Kuman, orang nomad berbahasa Turkik yang menetap di Hungary pada abad ke-12 dan abad ke-13. Nama komondor diterbitkan daripada *Koman-dor, yang memaksudkan "anjing Kuman". Baka ini diturunkan daripada anjing Tibet dan datang dari Asia dengan orang Kuman, yang tanah airnya mungkin berhampiran dengan Sungai Kuning. Pada akhir lewat abad ke-10, orang Mongol mula meluaskan wilayah mereka dengan mengorbankan orang Kuman, memaksa mereka untuk bergerak ke arah barat. Semasa melarikan diri daripada orang Mongol, mereka tiba di sempadan Hungary pada abad ke-12. Orang Kuman diberi suaka dan menetap di Hungary pada tahun 1239 di bawah Kutan Khan.[3] Tinggalan komondor telah ditemukan di tapak perkuburan orang Kuman.
Nama "quman-dur" yang memaksudkan "kepunyaan orang Kuman" atau "anjing Kuman", dengan itu membezakannya daripada baka anjing gembala Hungary serupa yang kemudiannya bergabung dengan komondor. Nama komondor ditemukan buat kali pertama yang ditulis pada tahun 1544 dalam Sejarah Raja Astiagis oleh Péter Kákonyi, dalam bahasa Hungary Moden Awal. Kemudian, pada tahun 1673, John Amos Comenius menyebut komondor dalam salah sebuah karya beliau.[2] Kini, komondor ialah baka agak lazim di Hungary, negara asalnya. Banyak komondor terkorban semasa Perang Dunia Kedua dan kisah tempatan mengatakan bahawa ini adalah kerana apabila pihak Jerman (dan kemudian pihak Rusia) menyerang, mereka terpaksa membunuh anjing ini sebelum mereka dapat menangkap ladang atau rumah yang dijaga olehnya.

Komondor berkaitan dengan anjing gembala Rusia Selatan, puli, dan, dengan lanjutan, pumi, mudi, anjing gembala tanah pamah Poland, schapendoes, collie berjanggut, dan anjing gembala lama Inggeris.[5] Pada tahun 1947, komondor digunakan untuk memperoleh darah segar pada anjing gembala Rusia Selatan yang jarang. Pada tahun 1970-an, satu lagi silangan komondor dibuat.[6] Ia juga dipercayai berkaitan dengan anjing Brie, anjing gembala Catalonia, anjing Serra de Aires, anjing gembala Pyrénées, dan anjing gembala Bergamo, tetapi anjing Bergamo mempunyai kawanan ternakan tidak seperti komondor.[7]
Dua baka anjing penjaga haiwan ternakan Hungary telah ber-evolusi secara bebas. Ini kerana komondor dikembangkan oleh sekumpulan orang yang memanggilnya Kuman-dor, "anjing Kuman", dan kuvasz pula dibiakbakakan oleh orang berlainan - orang Magyar. Untuk sebahagian besar sejarah awal Hungary, kedua-dua orang ini tinggal di kawasan berasingan di Hungary, menuturkan bahasa berlainan, dan oleh itu tidak bercampur. Akibatnya, anjing mereka mempunyai hanya sedikit, jika ada pun, campuran.
Perihal
[sunting | sunting sumber]Komondor ialah baka anjing besar—kebanyakannya setinggi lebih daripada 30 inci (76 cm). Tubuhnya dilitupi oleh lapis bulu berat, kusut, berpintal. Ia mempunyai tubuh tegap, berotot kuat dengan tungkai panjang dan belakang pendek. Ekornya terangkat dengan sedikit lingkaran. Tubuhnya apabila dilihat dari sisi, membentuk segi empat tepat tertiarap. Panjang tubuhnya lebih panjang sedikit daripada ketinggian pada paras kelasa. Komondor mempunyai kepala lebar dengan muncung lebih pendek sedikit daripada separuh panjang kepala dengan gigitan gunting separas dan lengkap. Hidung dan bibir sentiasa hitam.[8][9][10][11]
Ketinggian minimum komondor betina ialah 25.5 inci (65 cm) pada paras kelasa dengan purata ketinggian sebanyak 27.5 inci (70 cm). Ketinggian minimum komondor jantan ialah 27.5 inci (70 cm) dengan purata ketinggian sebanyak 31.5 inci (80 cm). Tiada had ketinggian atas yang diberikan.[9] Komondor betina secara purata mempunyai berat 88–110 lb (40–50 kg) dan komondor jantan pula mempunyai purata berat 110–132 lb (50–60 kg).[8][10]
Penampilan
[sunting | sunting sumber]
Lapis bulu komondor ialah lapis bulu putih panjang, tebal, dan amat berpintal yang kira-kira sepanjang 20–27 cm (7.9–10.6 in) (jumlah bulu terberat dalam kalangan anjing) dan menyerupai rambut pilinan atau mop. Lapis bulu anak anjing adalah lembut dan gebu. Walau bagaimanapun, lapis bulunya beralun dan cenderung untuk bergulung seiring dengan kematangan anak anjing. Lapis bulu sepenuhnya matang terbentuk secara semula jadi daripada lapis bulu bawah lembut dan lapis bulu luar lebih kasar yang bergabung untuk membentuk jumbai atau pintalan dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk terbentuk. Sedikit bantuan diperlukan dalam mengasingkan pintalan supaya anjing berkenaan tidak bertukar menjadi anjing kusut besar. Panjang pintalan bertambah seiring dengan masa apabila lapis bulu tumbuh. Salin bulu adalah minimum dengan baka ini, bertentangan dengan yang mungkin difikirkan (sebaik sahaja pintalan terbentuk sepenuhnya). Satu-satunya kali sali bulu besar berlaku sebagai anak anjing sebelum pilinan terbentuk sepenuhnya. Komondor lahir hanya dengan lapis bulu putih,[12] tidak seperti puli yang kelihatan serupa, yang dapat berwarna putih, hitam, atau kadang-kadang kekelabu-kelabuan. Walau bagaimanapun, lapis bulu komondor pekerja mungkin kehilangan warna akibat unsur-unsur persekitaran dan mungkin kelihatan putih pudar jika tidak dicuci dengan kerap. Secara tradisional, lapis bulu melindungi komondor daripada kemungkinan gigitan serigala kerana gigitan tidak dapat menembusi lapis bulu tebal.[13] Lapis bulu komondor memakan masa kira-kira dua hari setengah untuk kering selepas mandi.
Perangai
[sunting | sunting sumber]Komondor terbina untuk penjagaan ternakan. Perangainya seperti kebanyakan anjing penjaga haiwan ternakan; ia tenang dan mantap apabila keadaan normal, tetapi, sekiranya berlaku masalah, anjing berkenaan akan mempertahankan tuduhannya tanpa takut. Ia dibiakbakakan untuk berfikir dan bertindak secara bebas dan membuat keputusan sendirian.[1]
Komondor bersikap penyayang dengan keluarganya[2][12] dan lemah lembut dengan kanak-kanak dan rakan-rakan keluarga. Walaupun berwaspada terhadap orang asing, ia mampu menerima mereka apabila ada kejelasan bahawa tiada bahaya yang menanti[14] kerana naluri untuk bersikap pelindung terhadap keluarga, rumah, dan harta bendanya.[12]
Komondor sangat baik dengan haiwan peliharaan keluarga lain, kerap melindungi mereka, tetapi tidak toleran terhadap haiwan menceroboh dan bukan anjing baik untuk pangsapuri. Anjing ini berjaga-jaga dan berehat pada waktu siang, mengawasi persekitarannya, tetapi pada waktu malam sentiasa bergerak-gerak, meronda di tempat berkenaan, naik dan turun mengelilingi seluruh wilayahnya.[2] Anjing ini biasanya menumbangkan dan menahan penceroboh sehingga pemiliknya tiba.[2]
Pembiak baka komondor Hungary pernah mengatakan bahawa penceroboh mungkin diizinkan untuk memasuki hartanah yang dikawal oleh komondor, tetapi penceroboh itu tidak diizinkan untuk keluar atau melarikan diri.[2]
Kegunaan
[sunting | sunting sumber]Baka ini mempunyai naluri penjaga semula jadi dan keupayaan sedia ada untuk menjaga haiwan ternakan.[15] Sebagai anjing atletik, komondor adalah pantas dan berkuasa dan akan melompat ke arah pemangsa untuk mengusirnya atau menjatuhkannya. Ia dapat berjaya digunakan untuk menjaga biri-biri daripada serigala atau beruang. Ia merupakan baka anjing besar dan kuat, berperisai dengan lapis bulu tebal. Lapis bulu memberikan perlindungan menentang haiwan liar, cuaca, dan tumbuh-tumbuhan. Lapis bulunya kelihatan serupa dengan lapis bulu biri-biri supaya ia boleh dengan mudah bersepadu dalam kawanan dan menyamar, lalu memberikan kelebihan apabila pemangsa seperti serigala menyerang. Komondor ialah salah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan yang telah menyaksikan peningkatan besar dalam penggunaan sebagai penjaga biri-biri dan kambing di Amerika Syarikat untuk melindungi haiwan ternakan menentang pemangsa seperti koyote, kugar, beruang, dan pemangsa lain.[1]
Dalam kebudayaan popular
[sunting | sunting sumber]Muka hadapan album tahun 1996 Beck, Odelay ialah foto seekor komondor yang melompat melepasi halangan, yang diambil oleh jurugambar anjing Joan Ludwig (1914–2004) untuk keluaran Julai 1977 bagi Gazette terbitan American Kennel Club.[16]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ↑ Jawi: کوموندور; Hungary: komondor; /ˈkɒməndɔːr, ˈkoʊm-/[17]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 3 "Komondor" [Komondor] (dalam bahasa Inggeris). 5StarDog. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Februari 2009. Dicapai pada 15 Januari 2024.
- 1 2 3 4 5 6 7 Udvardiné Lukács, Ildikó; Gibizer, Tibor (1996). Komondor, kuvasz [Komondor, kuvasz] (dalam bahasa Hungary). Budapest, Hungary: Elék és Társa. ISBN 9637314334.
- 1 2 "THE EARLY HISTORY OF THE KOMONDOR" [SEJARAH AWAL KOMONDOR] (dalam bahasa Inggeris). komondor.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 November 2011. Dicapai pada 4 Ogos 2013.
- ↑ "32/2004. (IV. 19.) OGY határozat" (dalam bahasa Hungary). katki.hu. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Februari 2005. Dicapai pada 4 Ogos 2013.
- ↑ "Bearded Collie Club of America – BCCA.US" (dalam bahasa Inggeris). Bearded Collie Club of America. Dicapai pada 21 Januari 2024.
Its ancestors likely included herding dogs from the European continent, such as the Poland Lowland Sheepdog (Polski Owzcarek Nizinny) and the Komondor, blended with the sheep herding dogs of the British Isles.
- ↑ "South Russian Ovtcharka History" [Sejarah Anjing Gembala Rusia Selatan] (dalam bahasa Inggeris). Euphoric Black Blossom. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mei 2016. Dicapai pada 21 Januari 2024.
To maintain some semblance of breed and bloodline, these pure-breds were crossed with dogs of SRO-type but unknown heritage. In 1947 the Komondor was used to acquire fresh blood; in the 70's another Komondor cross was made.
- ↑ "Judging the Bergamasco Sheepdog" [Menghakimi Anjing Gembala Bergamo] (dalam bahasa Inggeris). Bergamasco Sheepdog Club of America. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- 1 2 "FCI Komondor Standards" [Piawaian Komondor FCI] (dalam bahasa Inggeris). arikomondor.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Februari 2012. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- 1 2 "Komondor" [Komondor] (dalam bahasa Hungary). Kutya-tár. 15 Januari 2010. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- 1 2 "Komondor Breed Standard" [Piawaian Baka Komondor] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- ↑ "The FCI Hungarian Standard" [Piawaian Hungary FCI] (dalam bahasa Inggeris). komondor.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- 1 2 3 Heaney, Richard; Heaney, Therese (1995). "Komondors" [Komondor] (dalam bahasa Inggeris). K9 Web. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mac 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- ↑ Alderton, David (1 September 2010). The Dog Selector: How to Choose the Right Dog for You [Pemilih Anjing: Cara untuk Memilih Anjing Betul untuk Anda] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764163654. OCLC 606762012.
- ↑ "About the Komondor" [Tentang Komondor] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mac 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- ↑ Alderton, David (1 September 2010). The Dog Selector: How to Choose the Right Dog for You [Pemilih Anjing: Cara untuk Memilih Anjing Betul untuk Anda] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 156. ISBN 9780764163654. OCLC 606762012.
- ↑ "Beck's "All Original Collage" – The Artwork Of 'Odelay' And How It Matches The Music Within" ["Kolaj Serba Asli" Beck – Karya Seni 'Odelay' dan Cara Karya Itu Memadani Muzik di Dalam] (dalam bahasa Inggeris). The Future Heart. 18 Jun 2016. Dicapai pada 21 Januari 2024.
- "komondor". Merriam-Webster (dalam bahasa Inggeris). Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 15 Januari 2024.